Saturday 31 March 2012

31 March 2012


Perhatikan iklan di atas iaitu tarikh balik klate dan tarikh mari upsi. Apakah pengaruh yang menyebabkan ayat dalam iklan berkenaan terhasil?

Dari sini kita dapat perhatikan bahawa antara pengaruh yang terbesar yang kita dapat lihat ialah pengaruh dialek iaitu dialek Kelantan.

Melalui iklan ini adakah semua masyarakat yang melihatnya akan faham akan iklan berkenaan. Jika kita katakan bahawa masyarakat yang asalnya daripada penutur atau penduduk Kelantan akan memahami iklan ini, itu sudah semestinya.

Akan tetapi jika kita lihat dalam masyarakat yang asalnya dari negeri lain selain Kelantan adakah mereka faham akan iklan tersebut.

Jadi, sebaik-baiknya dalam memaklumkan sesuatu maklumat kepada orang ramai maka eloklah sekiranya digunakan bahasa baku.

Friday 30 March 2012

30 March 2012

Bahasa Melayu

Bahasa Melayu ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang kebanyakannya digunakan di Malaysia, Indonesia dan kawasan sekitarnya.

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Di Indonesia, Bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia dan di Malaysia bahasa Melayu dipanggil bahasa Malaysia. Selain di keempat-empat buah negara tersebut bahasa Melayu juga digunakan di selatan Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.


Thursday 29 March 2012

29 March 2012

Kelmarin atau semalam?

Setiap masyarakat mempunyai kelainan pendapat tentang sesuatu perkataan. Inilah yang ingin saya persoalkan pada hari ini. Perkara yang menjadi persoalannya berkaitan dengan kelmarin dan semalam. Kedua-dua perkataan ini membawa konsep waktu dan masa. Ada sesetengah masyarakat berpendapat kelmari merupakan hari selepas daripada hari ini tetapi ada juga yang berpendapat bahawa kelmarin merupakan dua hari selepas hari ini. Ketidakfahaman ini berlaku pada masyarakat yang berlainan daerah.

        Misalnya yang berlaku pada diri saya sendiri baru-baru ini dengan bertanyakan soalan kepada salah seorang rakan saya waktu beliau menyiapkan tugasan. Dengan pantas beliau menjawab 'kelmarin'. Konsep 'kelmarin' yang membawa maksud satu hari selepas pada hari ini dibawa oleh masyarakat yang menetap di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Wednesday 28 March 2012

28 March 2012

Apa pendapat anda tentang gambar ini?






Pada hari ini saya sangat berminat untuk membincangkan tentang dialek Terengganu. Saya percaya bahawa keseluruhan masyarakat yang dilahirkan dan bermastautin di Terengganu memahami akan kata-kata yang ditimbulkan oleh Ustaz Azhar Idrus ini.

   Namun ada segelintir masyarakat yang dilahirkan atau bermastautin dari negeri lain tidak memahami akan kata-kata seperti dalam gambar di atas. Tetapi peratusannya mungkin sedikit iaitu antara 10 hingga 20 peratus sahaja yang kurang memahami kerana ayat yang ditimbulkan ini tidaklah terlalu rumit.

     Jadi, dapat dikatakan di sini bahawa terdapat sesetengah dialek yang boleh diterima oleh orang ramai dalam menggunakan dalam situasi formal seperti ceramah.

Tuesday 27 March 2012

27 March 2012

      Sedang duduk bersendirian teringat aku tentang satu kisah yang amat lucu. Ini berlaku pada diriku ketika bermulanya kemasukan aku ke semester dua. Pada ketika itu aku ditempatkan di kediaman Kolej Harun Aminurrashid. Buka sahaja pintu bilik terlihat seorang jejaka di sebuah kerusi sedang melayari internet. Beliau menoleh lalu tersenyum melihatku dan komunikasi antara aku dan dia bermula.

Aku: Assalamualaikum.
Boyot: Waalaikummussalam.
Aku: (aku bersalaman sambil memperkenalkan nama) saya Hafiz
Boyot: saya Kamil panggil saja Boyot.
Aku: (gelak dalam hati setelah diminta penggil sedemikian).
Boyot: Kita asal mana?
Aku: (Terdiam seketika)

     Pada pendapat anda apa yang ingin dipersoalkan oleh rakan sebilik saya ini?. Pada mulanya saya mentafsir akan pertanyaannya itu seolah-olah beliau ingin mengajukan satu teka-teki yang memerlukan saya untuk meneka asal beliau menetap.

     Setelah saya meneliti sedalam-dalamnya, rupanya beliau menggunakan kata ganti nama diri kedua itu untuk bertanyakan bahawa saya berasal dari negeri mana. Dari sini dapat dilihat bahawa orang sabah menggunakan kata ganti nama diri kedua iaitu "kita" untuk merujuk kepada "kamu". 

Monday 26 March 2012

26 March 2012

DIALEK

      Apa itu dialek?
      Menurut pemahaman saya, dialek ini merupakan salah satu bahasa yang digunakan oleh penutur dalam sesebuah daerah. Antaranya seperti dialek pahang, dialek kelantan, dialek kedah dan sebagainya.

     Untuk penulisan blog pada kali ini, saya lebih berminat untuk berkongsi dengan anda semua tentang Dialek Pahang. Saya antara penutur asli dialek Pahang yang menetap di Daerah Pekan.

     Di daerah Pekan, setiap ungkapan atau perkataan yang disebut banyak menggunakan huruf vokal "o".

      contohnya;
      1) [awak]- [awok]
      2) [mujur]- [mujo]
      3) [mudah]- [mudoh]

      Selain itu, penggunaan huruf vokal "e (pepet)" juga sering digunakan pada akhir perkataan.
     
      Contohnya;
      1) [bela]-[bele]
      2) [semoga]-[semoge]
      3) [sejahtera]-[sejahtere] 

    Seterusnya, hujung perkataan yang diakhiri dengan konsonen "s" berubah menjadi konsonen "h" dalam     aspek sebutan.

     Contohnya;
     1) [beras]-[berah]
     2) [habis]-[habih]
     3) [biras]-[birah]

    Penggunaan kata ganti nama diri

     kata ganti nama diri pertama; [koi], [kawe]- membawa maksud "saya" atau "aku"
     kata ganti nama diri kedua; [aok], [awok]- membawa maksud "kamu" atau "awak"

Friday 23 March 2012

23 March 2012

    Kesalahan bahasa sering kita semua lihat di mana-mana premis jualan antaranya premis menjual makanan. Antara salah satu contoh yang kita boleh perhatikan ialah seperti gambar di bawah;



      Gambar di atas menunjukkan kesalahan bahasa dari segi hukum D-M iaitu perkara yang diterang dan menerang. Iklan berdasarkan gambar di atas bertujuan untuk menunjukkan harga pisang yang telah digoreng oleh jurujual tersebut. Jika jurual tersebut mengikklankan goreng pisang, ini membawa maksud seolah-olah jurual itu ingin menawarkan pelanggannya untuk menggoreng pisang tersebut.

     Jadi, pembetulan terhadap iklan ini ialah pisang goreng bagi menunjukkan perkara yang diterangkan iaitu pisang dan perkara yang menerangkan iaitu goreng.

Thursday 22 March 2012

22 March 2012

  Baru-baru ini, saya telah ditumpangi oleh seorang ulama dengan menaiki motosikal untuk menuju ke rumahnya. Pada ketika itu, beliau baru sahaja menghantar anaknya ke sekolah dengan menaiki motosikalnya sendiri. Sifat kebapaannya mebuatkan aku terharu kerana beliau lebih mementingkan keselesaan untuk anak lelaki beliau dengan meninggalkan motosikalnya itu untuk memudahkan anak beliau pulang dari sekolah.

    Cerita di atas sengaja saya ketengahkan untuk menunjukkan kepada anda semua yang membaca blog saya akan hebatnya kasih seorang ayah terhadap anaknya. Sebenarnya, kisah bahasa masih lagi belum tamat. Pada hari ini saya berminat untuk mengetangahkan penggunaan bahasa yang lembut dan sopan.

    Saya akui sepanjang perjalanan saya menghantar ayah kepada seorang anak ini, bahasa yang digunakan amat menyenangkan hati saya. Kisahnya bermula seperti ini;

Si Ayah: Assalamualaikum adik?
Aku: Waalaikummussalam.
Si Ayah: Minta tolong boleh.
Aku: Boleh. nak minta tolong apa?
Si Ayah: Tolong hantarkan abang ke rumah abang boleh?
Aku: Rumah Abang dekat mana?
Si Ayah: dekat lorong 11.
Aku: Boleh ja. dekat ja tu dengan rumah saya. marilah naik.
 (sedang menunggang motosikal sambil berbual panjang sehingga sampai ke rumah si ayah)
Si Ayah: Terima Kasih ya adik. nama sapa?
Aku: sama-sama. abang panggil saja saya hafiz. abang?
Si Ayah: oh, panggil abang, abang daud. terima kasih banyak-banyak ya adik. Nanti jemputlah datang ke rumah abang. ada masa kita boleh makan sekali.
Aku: sama-sama abang daud. insyaallah. (wajah penuh dengan senyuman)

       Kesimpulannya di sini dapatlah diungkapkan bahawa penggunaan bahasa yang sopan ketika meminta tolong daripada seseorang akan menceriakan suasana dalam pergaulan dan komunikasi. Penggunaan bahasa seperti ini tidak akan menimbulkan sedikit rasa marah malah akan membuatkan semua orang senang hati apabila mendengarnya.

Wednesday 21 March 2012

21 March 2012

      Topik pada hari ini masih lagi tidak lari daripada penggunaan bahasa. Pada kali ini, saya tidak menfokuskan penggunaan bahasa daripada aspek sebutan atau intinasi tetapi kali ini saya lebih berminat untuk menilai kesalahan bahasa dalam aspek penulisan.

      Saya yakin dalam penulisan seperti latihan karangan yang diberikan oleh guru pasti akan berlakunya kesalahan dari aspek ejaan. Misalnya, kata sendi nama "daripada" ejaannya disingkatkan menjadi "drpd". Kenapa penulisan seperti ini berlaku?

      Antara salah satu faktor yang mendorong perkara ini berlaku ialah faktor teknologi iaitu penggunaan telefon bimbit yang menjanakan kepada masyarakat mesej pesanan ringkas atau SMS. Bagi menghantar mesej melalui perkhidmatan SMS, kebiasaannya masyarakat tidak mengeja sesuatu perkataan dengan berpandukan bahasa Melayu baku yang betul. Sebaliknya, mereka akan menggunakan bahasa singkatan untuk memudahkan mereka dalam berkomunikasi. Hal ini telah membuatkan mereka berasa terbiasa dan menggunakan bahasa tersebut dalam keadaan yang memerlukan mereka menulis secara formal.

      Keadaan ini akan menyebabkan akan menimbulkan masalah ketidakfahaman dalam kalangan mereka.

Tuesday 20 March 2012

20 March 2012

    Hari ini saya berminat untuk menulis tentang penggunaan kata ganti nama diri pertama dan kedua iaitu "saya" dan "awak". Kedua-dua kata ganti nama diri ini digunakan dalam situasi formal contohnya ketika bertemu dengan orang yang baru dikenali.

     Sebaliknya, dalam dialek seperti Pahang, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perak penggunaan perkataan bagi menunjukkan kata ganti nama diri pertama dan kedua ini tampak bervariasi.


     Contohnya,
     Pahang: Koi, Aok
     Kelantan: Kawe, Demo
     Terengganu: Aku, Mu
     Kedah: Aku, Hang

Monday 19 March 2012

19 March 2012

       Hari ini kita masih lagi akan membincangkan tentang isu bahasa. Pada kali ini saya lebih berminat untuk berkongsi dengan anda semua berkaitan dengan bahasa slanga.

Apa itu bahasa slanga?

      Berdasarkan daripada pengetahuan dan pemahaman saya, bahasa slanga ini merupakan bahasa yang sering diguna pakai dalam kelompok golongan muda atau remaja. Bahasa slanga ini tidak sesuai digunakan dalam majlis formal atau ketika bercakap dengan orang yang lebih tua. Kebiasaannya, bahasa ini sering digunakan dalam kalangan golongan muda ketika berkomunikasi dalam kalangan mereka sendiri. Antara contoh perkataannya yang sering kita dengar ialah lu, gua, langsi, bikin dan sebagainya.

Apakah faktor yang mendorong penggunaan bahasa selanga secara berleluasa dalam kalangan golongan muda?

     Memandangkan saya salah seorang yang juga sering menggunakan bahasa ini, saya mendapati antara faktor utama yang mendorong kepada penggunaan bahasa slanga ini ialah faktor media. Ini dapat dilihat melalui penerbitan dan tayangan filem seperti KL Gangster, Adnan Sempit, Rempit, Bohsia dan sebagainya.



        Perhatikan sedutan filem di atas. Penggunaan perkataan lu dan gua  dalam filem ini sering kita dengar daripada mulut golongan muda pada masa ini.

       Oleh itu, marilah kita sama-sama menerapkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam pengucapan kerana penggunaan bahasa slanga inilah yang telah menyebabkan berlakunya pencemaran bahasa.

Friday 16 March 2012

16 March 2012

     Sememangnya laman sesawang facebook menjadi laman sesawang yang selalu saya langgani ketika masa lapang. Sedang asyik melayari laman sesawang ini, saya terpandang satu gambar yang dipaparkan oleh salah seorang rakan facebook saya yang bernama solihin. Gambar ini membabitkan penyalahgunaan bahasa. Ini dapat dilihat melalui gambar rajah di bawah;





   Apakah pendapat anda tentang gambar ini?

    Ayat yang tertera dalam gambar ini ialah "Boleh kami bantu anda". Ayat ini merupakan ayat tanya. Wajar atau tidak ayat seperti ini digunakan di mana-mana kaunter pertanyaan atau dalam peruntukan pengiklanan?

   Bagi saya ayat yang digumakan ini tidak sesuai digunakan untuk tujuan pemujukan. Dalam penggunaan ayat seperti ini untuk tujuan pemujukan seolah-olah akan membuatkan masyarakat merasa  tidak selesa kerana mereka lebih beranggapan bahawa mereka sedang diperli atau dipulaukan.

    Jadi, lagi baik sekiranya ayat tersebut ditukarkan kepada "Kami sedia membantu" kerana ini lebih mesra dan mampu menjaga perasaan manusia yang hadir di sekelilingnya.

Thursday 15 March 2012

15 March 2012

    Kegembiraan jelas terasa dalam diri ini kerana Chelsea telah layak ke suku akhir dalam Champions League. Namun bukan ini sebenarnya yang ingin saya perkatakan. Topik pada hari ini masih lagi berkaitan dengan penggunaan bahasa dalam kalangan Masyarakat.

     Tepat jam 12 tengah hari saya bersiap untuk pergi ke kedai komputer. Tujuan saya ke sini adalah untuk membeli bahan simpan maklumat atau lebih dikenali sebagai "pendrive". Masuknya saya melalui pintu hadapan kedai itu maka berlakulah beberapa perbualan antara saya dengan salah seorang jurujual  yang bekerja di situ.

Jurujual: Adik, mahu cari apa?
Aku: saya mahu cari "pendrive".
Jurujual: Oh, ada..ada..mari sini saya tunjuk.
Aku: (pergi mengikuti jurujual tersebut)
Jurujual: Ini dia "pendrive". Mahu berapa GB punya?
Aku: Saya mahu yang 8 GB punya. Berapa harga?
Jurujual: 8 GB ya..8 GB..RM25 sahaja..
Aku: RM25? tak boleh kurang ka?
Jurujual: tak boleh dah. Ini "pendrive" sangat-sangat baik...
Aku: (putus asa. segera mengeluarkan duit untuk mendapatkan "pendrive" tersebut..)

     Berdasarkan perbualan antara saya dengan jurual di atas, dapat dilihat bahawa kami berdua berurus niaga dengan menggunakan bahasa pasar. Perasan atau tidak? ?

     Persoalannya, perlu atau tidak kita kuasai bahasa pasar ini?

   Saya menerima sewajarnya bahawa penggunaan bahasa pasar dalam kalangan masyarakat Melayu boleh menyebabkan pencemaran bahasa. Namun begitu,  bagi saya penggunaan bahasa pasar sememangnya perlu untuk kita kuasai. Kenapa saya katakan sedemikian?

      Seperti yang kita semua sedia maklum, bangsa cina bukanlah penutur asli Bahasa Melayu dan mereka tidak dapat menguasai sepenuhnya penggunaan bahasa Melayu baku. Jadi, sekiranya kita berkomunikasi dengan mereka dengan menggunakan bahasa Melayu baku secara terperinci, berkemungkinan terdapat bahagian yang mungkin tidak dapat difahami oleh mereka terutamanya bagi mereka yang kurang berpendidikan. Disebabkan ini komunikasi antara kita dengan mereka akan terbantut. Oleh itu, penggunaan bahasa pasar ini adalah perlu untuk mengatasi masalah sedemikian.


Tuesday 13 March 2012

13 March 2012

    Hari mula berganti hari, minggu mula berganti minggu dan bulan mula berganti bulan. Namun, pada hari ini juga, topik yang akan diperkatakan ialah tentang penggunaan Bahasa. Kini, aku berminat untuk menceritakan tentang penggunaan perkataan "bela".
   Pernah suatu ketika, aku pulang dari kuliah. Dalam perjalanan menuju ke kolej terseempak aku dengan salah seorang rakanku yang juga menambul jurusan pendidikan Bahasa Melayu. Beliau merupakan seorang jejaka yang berasal dari Terengganu. Perbualan aku bersama beliau bermula apabila beliau mengadu kepadaku bahawa legtop yang dimiliki beliau rosak.

Syafik: Hafiz?
Aku: ya. Ada apa?
Syafik: Semalam legtop aku "heng" la.
Aku: "Heng"? kenapa?
Syafik: Entahla. Tiba-tiba ja legtop aku tu tak boleh "on"
Aku: Habis tu ko tak pergi hantar kedai "bela".
Syafik: "Bela"..? maksudnya?
Aku: (diam kebingungan)

  Penggunaan perkataan "bela" bagi membawa maksud membaiki telah menyebabkan perbualan kami berdua kecundang. Aku tidak sedar bahawa penggunaan perkataan "bela" untuk membawa maksud membaiki tidak digunakan oleh penutur negeri Terengganu. Peristiwa ini telah menyebabkan aku mula bertanya kepada rakan-rakan yang lain yang kebanyakannya berasal daripada negeri yang berlainan sama ada mereka semua ada atau tidak menggunakan perkataan "bela" ini untuk membawa maksud membaiki.

  Maklumat demi maklumat telah aku kumpul. Akhirnya maklumat-maklumat yang dikumpul itu telah dapat aku simpulkan bahawa penggunaan perkataan "bela" untuk membawa maksud membaiki hanya digunakan oleh penutur yang berasal atau bermastautin di negeri Selangor dan Pahang sahaja.

Monday 12 March 2012

12 March 2012

Komunikasi dan Situasi

Ketika kita berkomunikasi dengan seseorang, perkara yang perlu diambil kira ialah situasi. Maksudnya di sini, kita perlulah bijak dalam berkomunikasi dalam seseuatu keadaan.

Contohnya ketika berada dalam mesyuarat. Cara kita berkomunikasi perlulah sopan dan menggunakan bahasa yang formal.

Begitu juga ketika kita berkomunikasi dengan rakan di kedai makan. Cara komunikasi kita dengan orang lain adalah secara spontan. Aspek bahasa yang amat mementingkan kesopanan tidak akan diambil kira dalam situasi ini.

Seandainya kita salah mengaplikasikan komunikasi kita dalam satu-satu keadaan, berkemungkinan masalah bakal berlaku.

Jadi, dapat dikatakan bahawa komunikasi tidak boleh dilakukan secara lewa tetapi perlu mengambil kira aspek tertentu.

Friday 9 March 2012

9 Mac 2012

Persoalan: Apa pandangan anda tentang perkartaan "selalu"?
Sedang duduk bersendirian, terfikir sejenak tentang pengalaman lalu bersama rakan-rakan ketika bersembang di sebuah rumah. Pada ketika itu, kami sedang bersiap untuk pergi bersarapan. Dalam kehidupan ini, ketika kita sedang menunggu seseorang sudah pasti ada berlakunya perbualan sesama kita. Aku masih ingat tentang perbualan tersebut.

Aku: Faizal, lama lagi kah?
Faizal: Sabar lah dulu. Aku tengah bersiap ni..
Aku: lama lagi ke?.
Faizal: kejap la..
Aku: cepat sikit, budak ni ajak pergi makan.
Faizal: Bila?
Aku: selalu la..
Faizal: selalu????
      Perbualan antara aku bersama rakanku ini telah menimbulkan keraguan ketika aku mengeluarkan perkataan "selalu". Di tempat anda, adakah perkataan "selalu" ini mempunyai banyak makna?
Aku berasal dari pekan pahang. Kebiasaannya aku menggunakan perkataan selalu ini untuk membawa maksud;
  1. sekarang
  2. sentiasa
     Berdasarkan daripada perbualan aku bersama rakanku ini, aku menggunakan perkataan "selalu" untuk menunjukkan maksud sekarang. Faizal berasal dari negeri Selangor. Aku yakin bahawa di tempat beliau perkataan "selalu" ini hanya digunakan oleh beliau dan juga pemastautin negeri Selangor untuk membawa satu makna sahaja iaitu sentiasa. Disebabkan inilah kekeliruan antara aku dengan rakanku ini terbantut akibat kekeliruan yang timbul. Aku yakin masih banyak lagi perkataan "selalu" ini digunakan oleh pemastautin lain bagi merujuk makna yang lebih daripada satu makna.
   
       Melalui situasi yang berlaku ini dapat diperkatakan bahawa komunikasi antara pemastautin yang berlainan negeri memerlukan kita agar lebih berhati-hati dalam penggunaan bahasa. Ambil tahu tentang sesuatu perkataan itu perlu dikuasai agar kefahaman sesama kita berhasil.

Wednesday 7 March 2012

7 Mac 2012

     Hari ini merupakan hari kedua saya dalam menulis blog. Tema untuk hari ini masih tidak lagi lagi daripada penggunaan bahasa. Di sini saya ingin berkongsi ilmu dalam penggunaan bahasa dalam masyarakat pada masa ini.
      Sedang asyik melayan youtube, dengan secara tidak sengaja saya terlihat salah satu video yang membabitkan perbualan telefon antara penduduk sabah dengan penduduk semenanjung. Penggunaan dialek yang berlainan  ketika berbual dalam perhubungan telekomunikasi menyebabkan mereka ini tidak memahami antara satu sama lain terhadap apa-apa yang diperkatakan.






    Berdasarkan video yang telah anda semua lihat ini, apa kesimpulan yang boleh anda perkatakan? Bagi saya sendiri, sebagai penduduk atau rakyat Malaysia, penguasaan terhadap bahasa baku amat penting dan perlu kita semua terapkan dalam diri. Hal ini kerana, penggunaan Bahasa Melayu Baku mampu menyelesaikan sebarang masalah yang membabitkan sistem kamunikasi kita semua.

Monday 5 March 2012

5 March 2012

Hari mula berganti hari. Bicara bahasa tersemat di hati. Inilah topik yang akan diperkatan bermula pada hari ini. Bahasa yang indah cuma ada pada orang yang bertoleransi. Terkenang daku ketika jam 9 pagi tadi. Muncul seorang jejaka yang bekerja sebagai teknikal di kampus baru Universiti Pendidikan Sultan Idris. Penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris tersemat di hati. Tambahan nada yang digunakan pula menimbulkan rasa kesabaran semakin merudum. Seolah-olah melepaskan marah akibat kepenatan.

Tepat jam 9 pagi iaitu ketika kelas penaksiran yang diajar oleh Dr. Idris telah berlakunya sedikit masalah teknikal. Tanpa melengahkan masa, Dr Idris menghubungi salah seorang pekerja teknikal untuk mengatasi masalah yang timbul. Selang beberapa minit muncul pekerja tersebut di hadapan kelas. Setelah diperiksa oleh beliau terhadap masalah yang berlaku, tersembullah perkataan-perkataan dari mulut beliau. Penggunaan bahasa yang digunakan oleh beliau tidak menunjukkan yang beliau merupakan penutur asli Melayu. Perkataan yang dikeluarkan daripada mulut beliau penuh dengan rojaknya. Antara perkataan yang mampu saya kesan antaranya ialah "you tekan up arrow". Masih banyak lagi penggunaan bahasa rojak yang digunakan beliau tetapi tidak mampu saya kesan secara terperinci.

Beginilah kehidupan manusia pada masa ini. Keutamaan terhadap penggunaan Bahasa dalam kalangan anggota masyarakat semakin ditolak ke tepi akibat kemodenan yang semakin memuncak di Malaysia.