Thursday, 15 March 2012

15 March 2012

    Kegembiraan jelas terasa dalam diri ini kerana Chelsea telah layak ke suku akhir dalam Champions League. Namun bukan ini sebenarnya yang ingin saya perkatakan. Topik pada hari ini masih lagi berkaitan dengan penggunaan bahasa dalam kalangan Masyarakat.

     Tepat jam 12 tengah hari saya bersiap untuk pergi ke kedai komputer. Tujuan saya ke sini adalah untuk membeli bahan simpan maklumat atau lebih dikenali sebagai "pendrive". Masuknya saya melalui pintu hadapan kedai itu maka berlakulah beberapa perbualan antara saya dengan salah seorang jurujual  yang bekerja di situ.

Jurujual: Adik, mahu cari apa?
Aku: saya mahu cari "pendrive".
Jurujual: Oh, ada..ada..mari sini saya tunjuk.
Aku: (pergi mengikuti jurujual tersebut)
Jurujual: Ini dia "pendrive". Mahu berapa GB punya?
Aku: Saya mahu yang 8 GB punya. Berapa harga?
Jurujual: 8 GB ya..8 GB..RM25 sahaja..
Aku: RM25? tak boleh kurang ka?
Jurujual: tak boleh dah. Ini "pendrive" sangat-sangat baik...
Aku: (putus asa. segera mengeluarkan duit untuk mendapatkan "pendrive" tersebut..)

     Berdasarkan perbualan antara saya dengan jurual di atas, dapat dilihat bahawa kami berdua berurus niaga dengan menggunakan bahasa pasar. Perasan atau tidak? ?

     Persoalannya, perlu atau tidak kita kuasai bahasa pasar ini?

   Saya menerima sewajarnya bahawa penggunaan bahasa pasar dalam kalangan masyarakat Melayu boleh menyebabkan pencemaran bahasa. Namun begitu,  bagi saya penggunaan bahasa pasar sememangnya perlu untuk kita kuasai. Kenapa saya katakan sedemikian?

      Seperti yang kita semua sedia maklum, bangsa cina bukanlah penutur asli Bahasa Melayu dan mereka tidak dapat menguasai sepenuhnya penggunaan bahasa Melayu baku. Jadi, sekiranya kita berkomunikasi dengan mereka dengan menggunakan bahasa Melayu baku secara terperinci, berkemungkinan terdapat bahagian yang mungkin tidak dapat difahami oleh mereka terutamanya bagi mereka yang kurang berpendidikan. Disebabkan ini komunikasi antara kita dengan mereka akan terbantut. Oleh itu, penggunaan bahasa pasar ini adalah perlu untuk mengatasi masalah sedemikian.


Tuesday, 13 March 2012

13 March 2012

    Hari mula berganti hari, minggu mula berganti minggu dan bulan mula berganti bulan. Namun, pada hari ini juga, topik yang akan diperkatakan ialah tentang penggunaan Bahasa. Kini, aku berminat untuk menceritakan tentang penggunaan perkataan "bela".
   Pernah suatu ketika, aku pulang dari kuliah. Dalam perjalanan menuju ke kolej terseempak aku dengan salah seorang rakanku yang juga menambul jurusan pendidikan Bahasa Melayu. Beliau merupakan seorang jejaka yang berasal dari Terengganu. Perbualan aku bersama beliau bermula apabila beliau mengadu kepadaku bahawa legtop yang dimiliki beliau rosak.

Syafik: Hafiz?
Aku: ya. Ada apa?
Syafik: Semalam legtop aku "heng" la.
Aku: "Heng"? kenapa?
Syafik: Entahla. Tiba-tiba ja legtop aku tu tak boleh "on"
Aku: Habis tu ko tak pergi hantar kedai "bela".
Syafik: "Bela"..? maksudnya?
Aku: (diam kebingungan)

  Penggunaan perkataan "bela" bagi membawa maksud membaiki telah menyebabkan perbualan kami berdua kecundang. Aku tidak sedar bahawa penggunaan perkataan "bela" untuk membawa maksud membaiki tidak digunakan oleh penutur negeri Terengganu. Peristiwa ini telah menyebabkan aku mula bertanya kepada rakan-rakan yang lain yang kebanyakannya berasal daripada negeri yang berlainan sama ada mereka semua ada atau tidak menggunakan perkataan "bela" ini untuk membawa maksud membaiki.

  Maklumat demi maklumat telah aku kumpul. Akhirnya maklumat-maklumat yang dikumpul itu telah dapat aku simpulkan bahawa penggunaan perkataan "bela" untuk membawa maksud membaiki hanya digunakan oleh penutur yang berasal atau bermastautin di negeri Selangor dan Pahang sahaja.

Monday, 12 March 2012

12 March 2012

Komunikasi dan Situasi

Ketika kita berkomunikasi dengan seseorang, perkara yang perlu diambil kira ialah situasi. Maksudnya di sini, kita perlulah bijak dalam berkomunikasi dalam seseuatu keadaan.

Contohnya ketika berada dalam mesyuarat. Cara kita berkomunikasi perlulah sopan dan menggunakan bahasa yang formal.

Begitu juga ketika kita berkomunikasi dengan rakan di kedai makan. Cara komunikasi kita dengan orang lain adalah secara spontan. Aspek bahasa yang amat mementingkan kesopanan tidak akan diambil kira dalam situasi ini.

Seandainya kita salah mengaplikasikan komunikasi kita dalam satu-satu keadaan, berkemungkinan masalah bakal berlaku.

Jadi, dapat dikatakan bahawa komunikasi tidak boleh dilakukan secara lewa tetapi perlu mengambil kira aspek tertentu.

Friday, 9 March 2012

9 Mac 2012

Persoalan: Apa pandangan anda tentang perkartaan "selalu"?
Sedang duduk bersendirian, terfikir sejenak tentang pengalaman lalu bersama rakan-rakan ketika bersembang di sebuah rumah. Pada ketika itu, kami sedang bersiap untuk pergi bersarapan. Dalam kehidupan ini, ketika kita sedang menunggu seseorang sudah pasti ada berlakunya perbualan sesama kita. Aku masih ingat tentang perbualan tersebut.

Aku: Faizal, lama lagi kah?
Faizal: Sabar lah dulu. Aku tengah bersiap ni..
Aku: lama lagi ke?.
Faizal: kejap la..
Aku: cepat sikit, budak ni ajak pergi makan.
Faizal: Bila?
Aku: selalu la..
Faizal: selalu????
      Perbualan antara aku bersama rakanku ini telah menimbulkan keraguan ketika aku mengeluarkan perkataan "selalu". Di tempat anda, adakah perkataan "selalu" ini mempunyai banyak makna?
Aku berasal dari pekan pahang. Kebiasaannya aku menggunakan perkataan selalu ini untuk membawa maksud;
  1. sekarang
  2. sentiasa
     Berdasarkan daripada perbualan aku bersama rakanku ini, aku menggunakan perkataan "selalu" untuk menunjukkan maksud sekarang. Faizal berasal dari negeri Selangor. Aku yakin bahawa di tempat beliau perkataan "selalu" ini hanya digunakan oleh beliau dan juga pemastautin negeri Selangor untuk membawa satu makna sahaja iaitu sentiasa. Disebabkan inilah kekeliruan antara aku dengan rakanku ini terbantut akibat kekeliruan yang timbul. Aku yakin masih banyak lagi perkataan "selalu" ini digunakan oleh pemastautin lain bagi merujuk makna yang lebih daripada satu makna.
   
       Melalui situasi yang berlaku ini dapat diperkatakan bahawa komunikasi antara pemastautin yang berlainan negeri memerlukan kita agar lebih berhati-hati dalam penggunaan bahasa. Ambil tahu tentang sesuatu perkataan itu perlu dikuasai agar kefahaman sesama kita berhasil.

Wednesday, 7 March 2012

7 Mac 2012

     Hari ini merupakan hari kedua saya dalam menulis blog. Tema untuk hari ini masih tidak lagi lagi daripada penggunaan bahasa. Di sini saya ingin berkongsi ilmu dalam penggunaan bahasa dalam masyarakat pada masa ini.
      Sedang asyik melayan youtube, dengan secara tidak sengaja saya terlihat salah satu video yang membabitkan perbualan telefon antara penduduk sabah dengan penduduk semenanjung. Penggunaan dialek yang berlainan  ketika berbual dalam perhubungan telekomunikasi menyebabkan mereka ini tidak memahami antara satu sama lain terhadap apa-apa yang diperkatakan.






    Berdasarkan video yang telah anda semua lihat ini, apa kesimpulan yang boleh anda perkatakan? Bagi saya sendiri, sebagai penduduk atau rakyat Malaysia, penguasaan terhadap bahasa baku amat penting dan perlu kita semua terapkan dalam diri. Hal ini kerana, penggunaan Bahasa Melayu Baku mampu menyelesaikan sebarang masalah yang membabitkan sistem kamunikasi kita semua.