Friday, 23 March 2012

23 March 2012

    Kesalahan bahasa sering kita semua lihat di mana-mana premis jualan antaranya premis menjual makanan. Antara salah satu contoh yang kita boleh perhatikan ialah seperti gambar di bawah;



      Gambar di atas menunjukkan kesalahan bahasa dari segi hukum D-M iaitu perkara yang diterang dan menerang. Iklan berdasarkan gambar di atas bertujuan untuk menunjukkan harga pisang yang telah digoreng oleh jurujual tersebut. Jika jurual tersebut mengikklankan goreng pisang, ini membawa maksud seolah-olah jurual itu ingin menawarkan pelanggannya untuk menggoreng pisang tersebut.

     Jadi, pembetulan terhadap iklan ini ialah pisang goreng bagi menunjukkan perkara yang diterangkan iaitu pisang dan perkara yang menerangkan iaitu goreng.

Thursday, 22 March 2012

22 March 2012

  Baru-baru ini, saya telah ditumpangi oleh seorang ulama dengan menaiki motosikal untuk menuju ke rumahnya. Pada ketika itu, beliau baru sahaja menghantar anaknya ke sekolah dengan menaiki motosikalnya sendiri. Sifat kebapaannya mebuatkan aku terharu kerana beliau lebih mementingkan keselesaan untuk anak lelaki beliau dengan meninggalkan motosikalnya itu untuk memudahkan anak beliau pulang dari sekolah.

    Cerita di atas sengaja saya ketengahkan untuk menunjukkan kepada anda semua yang membaca blog saya akan hebatnya kasih seorang ayah terhadap anaknya. Sebenarnya, kisah bahasa masih lagi belum tamat. Pada hari ini saya berminat untuk mengetangahkan penggunaan bahasa yang lembut dan sopan.

    Saya akui sepanjang perjalanan saya menghantar ayah kepada seorang anak ini, bahasa yang digunakan amat menyenangkan hati saya. Kisahnya bermula seperti ini;

Si Ayah: Assalamualaikum adik?
Aku: Waalaikummussalam.
Si Ayah: Minta tolong boleh.
Aku: Boleh. nak minta tolong apa?
Si Ayah: Tolong hantarkan abang ke rumah abang boleh?
Aku: Rumah Abang dekat mana?
Si Ayah: dekat lorong 11.
Aku: Boleh ja. dekat ja tu dengan rumah saya. marilah naik.
 (sedang menunggang motosikal sambil berbual panjang sehingga sampai ke rumah si ayah)
Si Ayah: Terima Kasih ya adik. nama sapa?
Aku: sama-sama. abang panggil saja saya hafiz. abang?
Si Ayah: oh, panggil abang, abang daud. terima kasih banyak-banyak ya adik. Nanti jemputlah datang ke rumah abang. ada masa kita boleh makan sekali.
Aku: sama-sama abang daud. insyaallah. (wajah penuh dengan senyuman)

       Kesimpulannya di sini dapatlah diungkapkan bahawa penggunaan bahasa yang sopan ketika meminta tolong daripada seseorang akan menceriakan suasana dalam pergaulan dan komunikasi. Penggunaan bahasa seperti ini tidak akan menimbulkan sedikit rasa marah malah akan membuatkan semua orang senang hati apabila mendengarnya.

Wednesday, 21 March 2012

21 March 2012

      Topik pada hari ini masih lagi tidak lari daripada penggunaan bahasa. Pada kali ini, saya tidak menfokuskan penggunaan bahasa daripada aspek sebutan atau intinasi tetapi kali ini saya lebih berminat untuk menilai kesalahan bahasa dalam aspek penulisan.

      Saya yakin dalam penulisan seperti latihan karangan yang diberikan oleh guru pasti akan berlakunya kesalahan dari aspek ejaan. Misalnya, kata sendi nama "daripada" ejaannya disingkatkan menjadi "drpd". Kenapa penulisan seperti ini berlaku?

      Antara salah satu faktor yang mendorong perkara ini berlaku ialah faktor teknologi iaitu penggunaan telefon bimbit yang menjanakan kepada masyarakat mesej pesanan ringkas atau SMS. Bagi menghantar mesej melalui perkhidmatan SMS, kebiasaannya masyarakat tidak mengeja sesuatu perkataan dengan berpandukan bahasa Melayu baku yang betul. Sebaliknya, mereka akan menggunakan bahasa singkatan untuk memudahkan mereka dalam berkomunikasi. Hal ini telah membuatkan mereka berasa terbiasa dan menggunakan bahasa tersebut dalam keadaan yang memerlukan mereka menulis secara formal.

      Keadaan ini akan menyebabkan akan menimbulkan masalah ketidakfahaman dalam kalangan mereka.

Tuesday, 20 March 2012

20 March 2012

    Hari ini saya berminat untuk menulis tentang penggunaan kata ganti nama diri pertama dan kedua iaitu "saya" dan "awak". Kedua-dua kata ganti nama diri ini digunakan dalam situasi formal contohnya ketika bertemu dengan orang yang baru dikenali.

     Sebaliknya, dalam dialek seperti Pahang, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perak penggunaan perkataan bagi menunjukkan kata ganti nama diri pertama dan kedua ini tampak bervariasi.


     Contohnya,
     Pahang: Koi, Aok
     Kelantan: Kawe, Demo
     Terengganu: Aku, Mu
     Kedah: Aku, Hang

Monday, 19 March 2012

19 March 2012

       Hari ini kita masih lagi akan membincangkan tentang isu bahasa. Pada kali ini saya lebih berminat untuk berkongsi dengan anda semua berkaitan dengan bahasa slanga.

Apa itu bahasa slanga?

      Berdasarkan daripada pengetahuan dan pemahaman saya, bahasa slanga ini merupakan bahasa yang sering diguna pakai dalam kelompok golongan muda atau remaja. Bahasa slanga ini tidak sesuai digunakan dalam majlis formal atau ketika bercakap dengan orang yang lebih tua. Kebiasaannya, bahasa ini sering digunakan dalam kalangan golongan muda ketika berkomunikasi dalam kalangan mereka sendiri. Antara contoh perkataannya yang sering kita dengar ialah lu, gua, langsi, bikin dan sebagainya.

Apakah faktor yang mendorong penggunaan bahasa selanga secara berleluasa dalam kalangan golongan muda?

     Memandangkan saya salah seorang yang juga sering menggunakan bahasa ini, saya mendapati antara faktor utama yang mendorong kepada penggunaan bahasa slanga ini ialah faktor media. Ini dapat dilihat melalui penerbitan dan tayangan filem seperti KL Gangster, Adnan Sempit, Rempit, Bohsia dan sebagainya.



        Perhatikan sedutan filem di atas. Penggunaan perkataan lu dan gua  dalam filem ini sering kita dengar daripada mulut golongan muda pada masa ini.

       Oleh itu, marilah kita sama-sama menerapkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam pengucapan kerana penggunaan bahasa slanga inilah yang telah menyebabkan berlakunya pencemaran bahasa.

Friday, 16 March 2012

16 March 2012

     Sememangnya laman sesawang facebook menjadi laman sesawang yang selalu saya langgani ketika masa lapang. Sedang asyik melayari laman sesawang ini, saya terpandang satu gambar yang dipaparkan oleh salah seorang rakan facebook saya yang bernama solihin. Gambar ini membabitkan penyalahgunaan bahasa. Ini dapat dilihat melalui gambar rajah di bawah;





   Apakah pendapat anda tentang gambar ini?

    Ayat yang tertera dalam gambar ini ialah "Boleh kami bantu anda". Ayat ini merupakan ayat tanya. Wajar atau tidak ayat seperti ini digunakan di mana-mana kaunter pertanyaan atau dalam peruntukan pengiklanan?

   Bagi saya ayat yang digumakan ini tidak sesuai digunakan untuk tujuan pemujukan. Dalam penggunaan ayat seperti ini untuk tujuan pemujukan seolah-olah akan membuatkan masyarakat merasa  tidak selesa kerana mereka lebih beranggapan bahawa mereka sedang diperli atau dipulaukan.

    Jadi, lagi baik sekiranya ayat tersebut ditukarkan kepada "Kami sedia membantu" kerana ini lebih mesra dan mampu menjaga perasaan manusia yang hadir di sekelilingnya.

Thursday, 15 March 2012

15 March 2012

    Kegembiraan jelas terasa dalam diri ini kerana Chelsea telah layak ke suku akhir dalam Champions League. Namun bukan ini sebenarnya yang ingin saya perkatakan. Topik pada hari ini masih lagi berkaitan dengan penggunaan bahasa dalam kalangan Masyarakat.

     Tepat jam 12 tengah hari saya bersiap untuk pergi ke kedai komputer. Tujuan saya ke sini adalah untuk membeli bahan simpan maklumat atau lebih dikenali sebagai "pendrive". Masuknya saya melalui pintu hadapan kedai itu maka berlakulah beberapa perbualan antara saya dengan salah seorang jurujual  yang bekerja di situ.

Jurujual: Adik, mahu cari apa?
Aku: saya mahu cari "pendrive".
Jurujual: Oh, ada..ada..mari sini saya tunjuk.
Aku: (pergi mengikuti jurujual tersebut)
Jurujual: Ini dia "pendrive". Mahu berapa GB punya?
Aku: Saya mahu yang 8 GB punya. Berapa harga?
Jurujual: 8 GB ya..8 GB..RM25 sahaja..
Aku: RM25? tak boleh kurang ka?
Jurujual: tak boleh dah. Ini "pendrive" sangat-sangat baik...
Aku: (putus asa. segera mengeluarkan duit untuk mendapatkan "pendrive" tersebut..)

     Berdasarkan perbualan antara saya dengan jurual di atas, dapat dilihat bahawa kami berdua berurus niaga dengan menggunakan bahasa pasar. Perasan atau tidak? ?

     Persoalannya, perlu atau tidak kita kuasai bahasa pasar ini?

   Saya menerima sewajarnya bahawa penggunaan bahasa pasar dalam kalangan masyarakat Melayu boleh menyebabkan pencemaran bahasa. Namun begitu,  bagi saya penggunaan bahasa pasar sememangnya perlu untuk kita kuasai. Kenapa saya katakan sedemikian?

      Seperti yang kita semua sedia maklum, bangsa cina bukanlah penutur asli Bahasa Melayu dan mereka tidak dapat menguasai sepenuhnya penggunaan bahasa Melayu baku. Jadi, sekiranya kita berkomunikasi dengan mereka dengan menggunakan bahasa Melayu baku secara terperinci, berkemungkinan terdapat bahagian yang mungkin tidak dapat difahami oleh mereka terutamanya bagi mereka yang kurang berpendidikan. Disebabkan ini komunikasi antara kita dengan mereka akan terbantut. Oleh itu, penggunaan bahasa pasar ini adalah perlu untuk mengatasi masalah sedemikian.