Tuesday, 17 April 2012

17 April 2012

Dialek

Dialek ialah  satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau sesuatu kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat daerah dan lain-lain.

Antara contoh dialek boleh diperhatikan seperti di bawah;

Bahasa Melayu Baku: Apa Khabar?
Kelantan: Apo kaba?
Melaka: Apa kabau?
Negeri Sembilan: Apo koba?
Sarawak: Apa khaba?
Sabah: Apa kabar?

Dari sini kita dapat perhatikan bahawa setiap negeri mempunyai dialek yang berbeza iaitu melalui sebutan mereka. Walaupun dialek mereka berbeza namun sesuatu perkataan yang disebut tidak membawa makna yang berbeza.

Monday, 16 April 2012

16 April 2012

Bahasa Kebangsaan

Bahasa Kebangsaan merupakan sebuah bahasa yang melambangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa dan negara secara unik.

Bahasa kebangsaan biasanya digunakan untuk wacana politik dan undang-undang serta ditetapkan sebagai kerajaan negara tersebut.

Sesetengah negara mempunyai lebih daripada satu bahasa kebangsaan seperti kanada yang menggunakan dua bahasa kebangsaan iaitu bahasa perancis dan bahasa Inggeris.

Kebiasaannya bahasa kebangsaan lebih kurang sama dengan bahasa rasmi tetapi tidak semestinya. Bahasa kebangsaan juga mungkin berbeza dengan bahasa yang umum digunakan rakyat negara tersebut.

Monday, 9 April 2012

9 April 2012

Bahasa Rasmi

Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi, kehakiman dan sebagainya.

Bahasa rasmi juga dikatakan sebagai bahasa yang semata-mata yang dianggap alat untuk tujuan tertentu yang tidak perlu dikaitkan dengan semangat kebangsaan. Biasanya bahasa rasmi dipilih daripada salah satu bahasa anak negeri dan ada kalanya dipilih bahasa bekas penjajah. Bagi negara yang mempunyai bahasa yang maju, bahasa yang banyak laras bahasanya akan diangkat menjadi bahasa rasmi.

Contohnya, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi kerana bahasa ini dapat digunakan sebagai bahasa ilmu dan dapat difahami umum.

Saturday, 7 April 2012

6 April 2012

Ayat Perintah

Pada zaman yang serba moden ini, manusia atau masyarakat Melayu kurang mahir dalam menggunakan ayat perintah. Kesilapan menggunakan ayat perintah dalam komunikasi boleh membawa kemarahan dalam diri seseorang individu. Ayuh kita selusuri tentang ayat perintah.

Ayat perintah bertugas untuk memberi tindak balas kepada orang yang mendengar (pihak kedua) sebagai larangan, silaan dan permintaan. Contohnya boleh dilihat seperti berikut;

i) Larangan (jangan, usah)- Rakyat jangan mudah terpengaruh dengan dakyah komunis.
ii) Silaan (Sila, Jemput)-Usah pergi ke sungai yang dalam airnya
iii) Permintaan (Tolong, minta)-Tolong jangan cemarkan nama baik sendiri.

Thursday, 5 April 2012

5 April 2012

Ayat Tanya
 
Ketika kita berkomunikasi secara dua hala, kita mesti menggunakan kata tanya dalam komunikasi tersebut. Dalam bahasa Melayu, terdapat banyak kata tanya yang ada. Ini kita akan lihat seperti yang akan dinyatakan sebentar lagi. Ayuh kita selusuri tentang apa yang dikatakan dengan ayat tanya

Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu. Kebiasaannya ayat tanya terbina oleh kata tanya yang mesti diikuti oleh partikel 'kah' yang digunakan di awal ayat tanya. Sekiranya kata tanya terletak pada akhir ayat tanya, partikel 'kah' tidak perlu diikuti lagi.

Contohnya boleh dilihat seperti berikut;
i) Kenapa? - Kenapakah Ahmad gagal dalam ujian itu?
ii) Bilakah? - Bilakah awak akan memulangkan buku saya?
iii) Siapa? - Nama kamu siapa?
iv) Apa? - Benda itu apa?

Wednesday, 4 April 2012

4 April 2012

Bahasa Istana

 Bahasa istana ialah bentuk bahasa yang digunakan dalam kalangan kerabat diraja apabila berhubung dengan kerabat diraja dan apabila menyebut hal-ehwal berkenaan raja dalam sesetengah bahasa baik masih digunakan hari ini mahupun tinggal sejarah.

Bahasa isatana mungkin berasal daripada bahasa yang sama tetapi mempunyai kosa kata yang berlainan atau bahasa yang berbeza sama sekali.

Contohnya boleh dilihat seperti berikut

Bahasa Istana: Almarhum
Bahasa biasa: Allahyarham

Bahasa Istana: daulat
Bahasa Biasa: Bahagia

Bahasa Istana: Iram-iram
Bahasa Biasa: Payung

Bahasa Istana: Hulu
Bahasa Biasa: Kepala


Tuesday, 3 April 2012

3 April 2012

Simpulan Bahasa

Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan-perkataan tersebut. Contohnya;

i) hari jadi-ulang tahun tarikh lahir
ii) langkah kanan-nasib baik
iii) makan masa- memerlukan banyak waktu

Pepatah

Pepatah ialah ungkapan-ungkapan yang berasal-usul daripada pusaka adat resam. Makna ungkapan-ungkapan itu tidak berubah-ubah. Pepatah berfungsi sebagai pedoman hidup anggota masyarakat yang mengamalkan sesuatu adat resam. Pepatah memiliki ciri-ciri puisi tradisional Melayu. Contohnya;

i) Nak kaya berdikit-dikit, nak ramai bertabur urai
    jimat cermat ialah tangga kejayaan, murah hati ialah tangga tuah.
ii) Pada sangka pohon beringin, kiranya tersandar di punggur lapuk
    menyangka dapat berkahwin dengan orang kaya, rupa-rupanya miskin.
iii) Patah lidah alamat kalah, patah keris alamat mati
     Apabila alat-alat kerja sudah rosak atau hilang, maka kerja-kerja akan tergendala.

Bidalan

Bidalan ialah pepatah atau peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat. Contohnya;

i) Jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitnya.
   Kerja yang sudah dimulakan hendaklah diselesaikan
ii) Jangan bijak terpijak, biar bodoh bersuluh
    jangan berasa diri bijak tetapi dihina orang, biar bodoh asal suka bertanya, pasti akan berjaya.
iii) sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna
     berfikir dengan teliti sebelum mengambil sebarang tindakan

Perumpamaan

Perumpamaan ialah perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan seolah-olah, ibarat, bak, seperti, laksana, macam, bagai dan umpama. Contohnya;

i) umpama membungkus api
   menyimpan rahsia lambat laun akan diketahui juga oleh orang.
ii) Laksana golok kayu, ditetak tak makan, dijual tak laku
    sesuatu yang tidak mendatangkan sebarang faedah
iii) Bagai burung dalam sangkar, mata terlepas badan terkurung
     hidup yang tidak bebas kerana terkongkong oleh adat, peraturan dan kuasa