Simpulan Bahasa
Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan-perkataan tersebut. Contohnya;
i) hari jadi-ulang tahun tarikh lahir
ii) langkah kanan-nasib baik
iii) makan masa- memerlukan banyak waktu
Pepatah
Pepatah ialah ungkapan-ungkapan yang berasal-usul daripada pusaka adat resam. Makna ungkapan-ungkapan itu tidak berubah-ubah. Pepatah berfungsi sebagai pedoman hidup anggota masyarakat yang mengamalkan sesuatu adat resam. Pepatah memiliki ciri-ciri puisi tradisional Melayu. Contohnya;
i) Nak kaya berdikit-dikit, nak ramai bertabur urai
jimat cermat ialah tangga kejayaan, murah hati ialah tangga tuah.
ii) Pada sangka pohon beringin, kiranya tersandar di punggur lapuk
menyangka dapat berkahwin dengan orang kaya, rupa-rupanya miskin.
iii) Patah lidah alamat kalah, patah keris alamat mati
Apabila alat-alat kerja sudah rosak atau hilang, maka kerja-kerja akan tergendala.
Bidalan
Bidalan ialah pepatah atau peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat. Contohnya;
i) Jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitnya.
Kerja yang sudah dimulakan hendaklah diselesaikan
ii) Jangan bijak terpijak, biar bodoh bersuluh
jangan berasa diri bijak tetapi dihina orang, biar bodoh asal suka bertanya, pasti akan berjaya.
iii) sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna
berfikir dengan teliti sebelum mengambil sebarang tindakan
Perumpamaan
Perumpamaan ialah perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan seolah-olah, ibarat, bak, seperti, laksana, macam, bagai dan umpama. Contohnya;
i) umpama membungkus api
menyimpan rahsia lambat laun akan diketahui juga oleh orang.
ii) Laksana golok kayu, ditetak tak makan, dijual tak laku
sesuatu yang tidak mendatangkan sebarang faedah
iii) Bagai burung dalam sangkar, mata terlepas badan terkurung
hidup yang tidak bebas kerana terkongkong oleh adat, peraturan dan kuasa